Alam remaja merupakan
satu tahap kritikal dalam kehidupan manusia, iaitu tempoh peralihan
daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Pada peringkat inilah
seseorang mula bertindakbalas kepada tuntutan emosi untuk
mencari identiti dan penampilan tersendiri. Ahli psikologi
mengistilahkan alam remaja sebagai ‘umur emosi’ (emotional
age ) kerana di peringkat mencari identiti , mereka sering
berhadapan dengan konflik diri di mana wujud dua pertembungan iaitu
antara sifat kanak-kanak dan keinginan serta kebimbangan untuk
menempuhi alam dewasa. Tetapi kini, remaja telah
terlalu jauh meninggalkan batas keperibadiannya serta melupakan
nilai-nilai etika dan moral yang sepatutnya tersemai di
dalam diri mereka.
Dewasa ini, keruntuhan moral
dan akhlak remaja berada pada tahap
yang agak membimbangkan. Oleh itu timbul persoalan di sini, adakah
nilai-nilai murni yang disemai dan dipelihara sudah lusuh rentetan
daripada pemodenan mental dan kebendaan. Apakah mereka tidak mampu untuk
mengadaptasikannya dengan perubahan budaya barat ( westernization )
yang pesat melanda negara kita ?
Belakangan ini terlalu
banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang
melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan
aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan
sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya
merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan
pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai
murni kemanusiaan serta agama.
Pengertian masalah sosial remaja
Secara umumnya masalah
sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang
tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan
struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun
negara.
Secara perundangan tidak
terdapat definisi yang khusus bagi mengkategorikan remaja. Akta
Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan seorang
kanak-kanak adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga
14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak
didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun
setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara
umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu
ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan sebahagian besar
daripada mereka masih dalam alam persekolahan.
Statistik Gejala Sosial
Remaja
Di Malaysia, remaja
merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana
bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini
juga banyak.
Data dan statistik banyak
menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah
semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita
Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja,
seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda
serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah
remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang
dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Perangkaan polis
menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah
pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah,
mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992).
Jenayah yang dilakukan
oleh remaja bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau
bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok
negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah
berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes
membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes
melibatkan kaum Melayu, 54 remaja Cina dan 47 adalah remaja kaum India.
Berdasarkan statistik, kes
melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun
1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan
1487 kes pada tahun 1992.
Satu lagi kesalahan yang
melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990,
terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes).
Dari segi jenayah
melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990
dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah yang ditahan, 2856 orang
(12.46%) adalah remaja.
Statistik seterusnya adalah
bersabit kesalahan akhlak yang amat serius dari kaca mata masyarakat
Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan remaja. Menurut Menteri
Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita
Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja yang rosak ahklak masih
tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada
tahun 1989, 3763 kes pada tahun 1990 dan sebanyak 2658 kes sehingga
bulan Oktober 1991.
Satu lagi tabiat remaja
yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung
adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan
kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di
Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke
rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian
dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan
Malaysia, 11 Mac 1993).
Punca Keruntuhan Akhlak
Daripada data dan statistik
yang dibentangkan, terbukti keruntuhan ahklak di kalangan remaja masih
pada tahap yang tinggi. Keruntuhan ahklak ini dapat dilihat dari
pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti berikut;
1.
Salah
satu faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah
penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan
sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga
berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang
mempunyai latar belakang yang baik.
Justeru, bolehlah dikatakan
bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan
dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau
penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta
penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak
kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang,
berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka.
Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan
dan pengawasan ibu bapa.
Keluarga yang terlalu mewah
cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai
contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan
wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah
dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas
dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan
memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil
berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada
kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam
masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi
daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.
Antara punca-punca lain
keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah
alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran
yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit,
suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak
keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga
membawa kepada kancah keruntuhan moral.
Justeru, sebagai ibu bapa
dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya
menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah
anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta
mengawal selia anak sepanjang masa.
2.
Pengaruh
persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku
para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai
dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang
seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini.
Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di
pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak
langsung terlibat dalam pergaulan bebas.
3.
Pengaruh
di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang
dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan
dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani
masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil
jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan
kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang
perhatian daripada ibu bapa di rumah.
Cara
Mengatasi Masalah
Perbincangan
mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja.
Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan
remaja ini. Berikut beberapa saranan:
1.
Peranan ibu bapa
adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap
anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau
pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui
dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup
meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga
seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan
anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai
kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan
sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan
memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap
masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan
anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara
bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan,
menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan
diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role
model kepada anak.
2.
Pendekatan
akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti
berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum
di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik
pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang
dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
3.
Mewujudkan sistem
perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat
sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di
samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu
bapa dalam pengawasan disiplin.
4.
Penguatkuasaan
Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang
sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam
mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil
kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.
5.
Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti
kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah
penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan
lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan
berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan
kaunseling tersebut.
6.
Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang
lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya
bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima
teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif. PIBG jangan lah
jadi umpama “KUCING TAK BERGIGI, TIKUS LOMPAT TINGGI-TINGGI”
Kesimpulan
Pelbagai langkah boleh
diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa
mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah
keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun
langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu
bapa, nescaya gejala ini sukar
diatasi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar